PENGENALAN KAJIAN TINDAKAN M1
Konsep Kajian Tindakan
Dalam bidang pendidikan khususnya kurikulum di sekolah, pendidik-pendidik sering terdedah dengan pelbagai situasi dan masalah yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya ada sebahagian pelajar gagal dalam subjek Matematik. Di sini guru akan memainkan peranan untuk mengenal pasti permasalahan tersebut sama ada disebabkan kelemahan amalan guru dalam pengajaran atau sebaliknya. Untuk menyelesaikan permasalahan ini, adalah penting budaya penyelidikan yang menjadi sebahagian budaya sekolah dan asas kepada ikhtisas guru. Melalui aktiviti penyelidikan ini, guru akan lebih dapat memahami dan mengetahui situasi sebenar di mana dia berada. Secara tidak langsung setelah dia memahami situasi tersebut dia akan dapat memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kualiti pendidikan masing-masing. Oleh itu, betapa pentingnya kajian tindakan dalam menyelesaikan permasalahan di dalam bilik darjah atau sekolah.
Definisi Kajian Tindakan
Kajian tindakan ialah suatu pendekatan yang praktik yang digunakan oleh penyelidik (pendidik) untuk mengkaji permasalahan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian tindakan merupakan satu kajian berbentuk refleksi kendiri melalui aktiviti inkuiri yang dilakukan oleh pendidik sebagai penyelidik bertujuan untuk memperbaiki amalan kendiri, menyelesaikan masalah di dalam bilik darjah atau sekolah, meningkatkan kualiti pendidikan masing-masing supaya menjadi lebih mantap melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih kritis dan kreatif terhadap amalan mereka semasa proses pengajaran disamping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan. Ianya melibatkan proses merancang, melaksana, memerhati dan mereflek. Kajian tindakan berbeza dengan bentuk-bentuk kajian yang lain kerana guru sebagai pengkaji bukan sahaja berfungsi untuk melakukan penyelidikan sahaja, malah ia turut melibatkan guru-guru Lain dalam usahasama penyediaan dan pelaksanaan perancangan untuk tindakan.
Kepentingan Kajian Tindakan
Antara faedah-faedah yang boleh didapati oleh guru-guru apabila melaksanakan kajian tindakan ialah :
1) Mendapat sumber maklumat penting untuk memahami amalan pengajaran guru, amalan pembelajaran pelajar, keadaan pelajar dan suasana di dalam bilik darjah dan sebagainya.
2) Dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dan dapat memahami, mengubah dan memperbaiki kelemahan amalan sendiri.
3) Merapatkan hubungan silaturrahim di kalangan guru-guru yang melaksanakan kajian tindakan secara kolaboratif.
Jenis-jenis Kajian Tindakan
1) Kajian Tindakan Individu
Guru itu sendiri yang memainkan peranan melakukan kajian untuk mengenalpasti masalah di dalam
bilik darjah. Contohnya mengenalpasti masalah pelajar yang tidak pandai berkomunikasi dalam
Bahasa Inggeris.
2) Kajian Tindakan Kolaboratif
Kajian yang melibatkan lebih daripada dua orang guru untuk melakukan kajian sama ada melibatkan
guru-guru dalam bidang yang sama, guru yang berlainan subjek yang diajar, atau antara guru dengan
pihak luar iaitu pensyarah.
3) Kajian Tindakan Peringkat Sekolah
Kajian yang memfokus kepada satu isu yang sama terdapat di sekolah.
4) Kajian Tindakan Daerah
Kajian yang memfokus kepada satu isu yang terdapat di dalam beberapa buah sekolah pada peringkat daerah.
0 ulasan:
Catat Ulasan